Oleh WANDA IDRIS
PARA pelakon bersama pengarah A. Razak Mohaideen (belakang, empat kanan) dan David Teo (lima kanan) pada majlis doa selamat dan pembacaan skrip filem Main-Main Cinta di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
SEPERTI ada yang tidak kena dengan gandingan Adam AF2 dengan Misha Omar untuk menerajui filem cinta remaja, Main-Main Cinta, terbitan Metrowealth Movies Production (MMP).
Bukan kerana faktor usia, kerana jarak usia masing-masing tidaklah jauh berbeza. Misha hanya setahun lebih tua daripada Adam yang akan menyambut hari lahirnya yang ke 22 pada September ini.
Tetapi yang menjadi persoalannya, wajah dan penampilan Misha nampak jauh lebih matang berbanding Adam yang penuh keremajaan.
Perkara itu diakui sendiri oleh pengarah filem tersebut, Profesor Madya A. Razak Mohaideen.
``Sememangnya daripada pandangan mata kasar, gandingan itu nampak tidak kena. Tapi kita yang mencipta kesesuaian mereka. Misalnya, gaya berpakaian dan imej diri yang cuba ditonjolkan, dicipta berdasarkan watak dan perwatakan masing-masing.
``Jadi tiada alasan untuk menyatakan bahawa gandingan itu tidak kena. Dulu semasa saya menggandingkan Erra dan Yusry untuk filem Kuliah Cinta pun, persoalan yang sama timbul.
``Tapi ternyata, gandingan itu berjaya dan filem Kuliah Cinta sendiri memperoleh kutipan tertinggi pada tahun lepas iaitu sebanyak RM4.1 juta,'' katanya yang ditemui selepas majlis doa selamat dan pembacaan skrip filem tersebut di pejabat MMP di Subang Jaya, Selasa lalu.
Namun pengarah itu tidak menafikan, dia mempunyai alasan tersendiri menggandingkan dua artis tersebut.
Selain populariti, kata Razak, mereka telah membuktikan kemampuan bakat lakonan masing-masing.
Misha, kata Razak, telah menunjukkan lakonan yang membanggakan dalam filem Gerak Khas 3 The Movie (GK3).
Sementara Adam pula dilihat mempunyai potensi besar dalam dunia lakonan setelah tampil bersama bintang Akademi Fantasi 2 dalam filem Cinta Fotokopi yang akan ditayangkan 21 April ini.
Penarik
``Tidak dinafikan, gandingan Misha dan Adam mampu menjadi daya penarik kepada peminat untuk menyaksikan filem Main-Main Cinta,'' katanya.
Mengenai filem tersebut, kata Razak, Main-Main Cinta adalah sebuah filem yang berkisar tentang percintaan remaja di kolej.
Bagaimanapun, kata Razak, ia bukan sebuah kisah percintaan biasa sebaliknya diselitkan dengan mesej keakraban hubungan sesama teman dan keluarga.
Malah genre fantasi romantik menjadi tunjang Main-Main Cinta bagi memberi tarikan kepada filem tersebut.
Katanya, terdapat empat watak penting dalam filem tersebut iaitu watak Farah dan Adam yang masing-masing dibawa oleh Misha dan Adam manakala watak Maya dan Farid didukung oleh pelakon Dynas dan Piere Andre.
``Selain menampilkan paling ramai artis remaja, Main-Main Cinta turut menyelitkan kira-kira 53 babak fantasi remaja dalam dunia percintaan. Ia termasuk adegan situasi romantis seperti hero menaiki kuda dengan pakaian putih sedondon dan sebagainya,'' jelasnya.
Menurut Razak, dia juga telah melakukan beberapa perubahan pada skrip Meor Shariman atas persetujuan penulis skrip itu.
Malah katanya, dia menampilkan tujuh buah lagu-lagu KRU termasuk sebuah lagu baru kumpulan itu serta sebuah lagu nyanyian Adam sebagai daya tarikan kepada filem tersebut.
``Saya memilih KRU bukan sahaja kerana watak Adam mempunyai persamaan dengan dirinya yang memuja KRU tetapi kumpulan itu sendiri merupakan idola kepada para remaja usia 20-an yang membesar dengan lagu-lagu KRU,'' jelasnya.
Filem ke-17 terbitan MMP itu akan memulakan penggambaran bermula 20 Februari ini selama sebulan di sekitar Kuala Lumpur, Kajang dan Shah Alam.
Kira-kira RM1.5 juta diperuntukan untuk pembikinan filem itu termasuk kos promosi dan dijangka ditayangkan pada penghujung tahun ini.
Turut membintangi filem itu ialah Vanidah Imran, Saiful Apek, Farid Kamil, Azean Irdawaty, M. Rajoli, Siti Elizad, dan ramai lagi.
Sementara itu, penerbitnya, David Teo yakin filem yang diterajui oleh Misha Omar dan Adam itu bakal menjadi box-office apabila ditayangkan kelak.
No comments:
Post a Comment