RAMAI yang memuji bakat lakonan Misha Omar dalam filem Gerak Khas 3 The Movie (GK3) arahan Datuk Yusuf Haslam yang sedang ditayangkan di pawagam.
Reaksi positif itu telah memberi semangat kepada Misha untuk terus mengembangkan bakat lakonannya, lalu bersetuju untuk muncul sebagai heroin filem remaja, Main-Main Cinta (MMC).
Melalui MMC, arahan Prof. Madya A.Razak Mohaideen, kata Misha, dia akan cuba atasi kelemahannya sebagai pelakon.
Perkara pertama yang akan diatasi oleh Misha, untuk melakukan adegan romantik. Misha akui sewaktu dalam GK3, dia agak kekok ketika melakonkan adegan bertentang mata dengan Ezany.
Namun dia akan cuba atasi perasaan tersebut bila bergandingan dengan Adam AF2 dalam MMC nanti.
Pada waktu yang sama, Misha juga berharap peminat-peminat Adam terutamanya gadis remaja tidak akan memarahinya.
``Siapa tahu peminat fanatik Adam akan marah saya kalau kami melakonkan adegan yang romantik. Apa yang saya dan Adam akan lakukan adalah mengikut kehendak pengarah. Itu tugas kami untuk menghidupkan watak,'' kata Misha yang awal-awal lagi sudah memohon restu peminat-peminat Adam.
Kata Misha, percintaannya dengan Adam dalam MMC adalah satu fantasi.
Selain dari ingin mengatasi kelemahan diri, sebab lain yang mendorong Misha menerima tawaran tersebut adalah kerana watak Farah yang bakal dibawa dalam MMC berbeza dengan wataknya dalam GK3.
Farah adalah seorang pelajar yang cantik, trendy, popular dan sama nakal seperti kekasihnya, Adam.
Meskipun Misha baru pertama kali bertentang mata dengan Adam sewaktu latihan pembacaan skrip di pejabat Metrowealth baru-baru ini, namun dia yakin dapat bekerjasama dengan penyanyi tersebut.
No comments:
Post a Comment