Ni artikel ari ni...nanti nak tgk filem ni.........
----------------------------------------------------------------------------------
Cinta Kolesterol cipta sejarah
Oleh Akmal Abdullah
FILEM Cinta Kolesterol yang dijangka mula ditayang akhir September ini boleh dianggap mencipta satu sejarah baru dalam industri perfileman tanah air berikutan muncul sebagai filem pertama menggunakan teknologi solekan canggih dan termahal di negara ini.
Malah, ia juga sebagai filem Melayu pertama yang mampu membawa kesan kuat untuk penampilan watak utama dengan imej gemuk keterlaluan menerusi solekan dan sut pakaian khas, kelainan yang dikatakan cuma ada sekitar 10 judul saja seumpamanya berbanding mana-mana filem di dunia setakat ini.
Gimik ini akan memberi kejutan baru dalam perkembangan filem Melayu, selain memberi pengalaman paling berharga kepada Erra Fazira kerana watak ‘montel’ yang dibawanya adalah perbezaan besar sepanjang kerjayanya sebagai aktres.
Malahan, boleh dikatakan filem itu kelak menampilkan kelainan ketara dari segi pengarahan dan corak persembahannya jika dibandingkan hasil kerja sutradara Prof Madya Razak Mohaideen sebelum ini.
Demikian antara kenyataan menarik yang boleh disimpulkan menerusi Diskusi Seni: Kesan Khas Solekan Dalam Filem Cinta Kolesterol di Fakulti Seni Persembahan (FSP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini.
Ia dirasmikan Dekan FSP, Prof Madya Rushdi Kubon serta dihadiri hampir 300 pelajar fakulti itu. Ahli panelnya ialah Erra Fazira, Razak, Yusry Abdul Halim, selain penerbit Metrowealth Movies Productions (MMP), David Teo, Penerbit Penyelaras Cinta Kolesterol, Latiff Mohaideen, jurusolek Kay Azman serta dipengerusikan Zack.
Erra berkata, bukan mudah untuk membawa watak sedemikian kerana dalam fizikal yang gemuk keterlaluan, dia harus membuat persediaan mental yang baik untuk menggayakan wanita gemuk dan menterjemahkan cara bergerak, bercakap dan rentak nafas sebab seluruh wajahnya ditampal latex foam.
“Cuma yang tidak disolek ialah mata, hidung dan telinga. Cinta Kolesterol membuka satu pengalaman indah sebab semua pelakon hendak cuba watak sebegini (gemuk) dan ia akan memberi pembaharuan terhadap industri filem kita. Proses membawa watak ini bukan mudah, bermula hendak ambil ukuran kepala dan muka, ia bukannya perkara enak. Kepala saya dimasukkan ke dalam satu bahan berwarna merah dan rasa gelap gelita, tidak boleh gerakkan kepala selama 40 minit. Proses ini satu penyiksaan.
"Apabila tiba hari penggambaran, ketika disolek dan dimasukkan dalam sut pakaian gemuk, barulah benar-benar rasa tercabar kerana berdepan cuaca panas, badan berpeluh. Ia memang siksa. Setiap kali hendak tidur, terfikir siksa yang akan dihadapi esoknya kerana akan disolek empat jam lagi.
"Tapi bila sudah dalam sut pakaian gemuk dan disolek, automatik saya berasakan saya bukan lagi Erra Fazira seperti biasa tetapi saya adalah Erra yang lain dan barulah terasa berat saya memang 130 kilogram. Sewaktu disolek di set, saya tidak dibenar berborak dan makan, cuma boleh senyum," katanya.
Razak menjelaskan, idea menghasilkan filem sedemikian tercetus dua tahun sebelum ia dihasilkan.
"Saya merujuk pada Internet dan mendapati sekitar tahun 2000, filem yang ada di dunia mengenai watak gemuk melalui solekan hanya ada enam atau tujuh judul. Maknanya ia masih baru dalam bidang perfileman di dunia dan teknik kesan khas solekan tidak ada dalam buku.
"Konsep ini membolehkan generasi baru perfileman untuk mencuba bidang ini yang masih dara. Bila kita dengar tampal topeng, ia mungkin macam senang dibuat tetapi sebenarnya rumit. Manusia tidak boleh samakan dengan ciptaan Tuhan. Kita cuba beri sesuatu yang baru dengan penipuan kesan khas solekan. Bila dikonsepkan ia mampu menarik perhatian. Solekan bukan sekadar untuk buat jadi gemuk tetapi bermacam-macam imej lagi.
"Ini konsep baru dalam filem Malaysia. Saya akui ia tidak sempurna 100 peratus, malah tujuh filem yang buat konsep sebegini juga ada kecacatannya. Kita berharap teknik ini dapat memberi rangsangan buat generasi baru dalam kerja filem. Kita perlu kreativiti, kesanggupan dan kerajinan," katanya.
David Teo pula berkata, MMP berminat menghasilkan Cinta Kolesterol kerana mahu memberi kelainan dalam industri filem tempatan dan ia juga prinsip yang dipegangnya sebagai penerbit.
"Setiap kali hendak buat filem baru, kita cuba buat pembaharuan. Kita terpaksa laburkan RM200,000 hanya untuk tujuan solekan. Untuk filem terbaru, Hingga Ke Hujung Nyawa, kita juga akan gunakan solekan iaitu menjadikan watak Erra sebagai orang tua dengan kos solekannya dua kali ganda mahal iaitu RM400,000 kerana kali ini menggunakan silikon.
"Untuk tayangan filem ini nanti, kita gembira kerana sudah mendapat tempahan dari Brunei dan Singapura. Kita akan tayangkan menerusi 45 pawagam. Saya yakin Cinta Kolesterol boleh menjadi filem Melayu paling box-office pada tahun ini," kata David.
Midlife crisis
7 years ago
No comments:
Post a Comment